Ahad, 22 Julai 2012

Kita dan Sejarah - Gurindam 12 Raja Ali Haji

(Tiada Gurindam Sehebat Gurindam 12)


Raja Ali Haji bin Raja Haji Ahmad, merupakan salah seorang tokoh pujangga Melayu yang dilahirkan dalam keluarga bangsawan di Pulau Penyengat, Riau. Beliau merupakan cucu kepada Raja Haji, atau lebih dikenali sebagai Marhum Teluk Ketapang yang syahid di Melaka sewaktu berperang menentang Belanda. Salasilah beliau kemudiannya disusurgalurkan lagi hingga kepada Daeng Chelak, salah seorang daripada lima daeng yang memainkan peranan penting dalam sistem politik di bahagian Barat alam Melayu suatu ketika dahulu (Mohd Taib Osman 1976). Pengaruh dan ketokohan beliau dalam bidang keilmuan bermula semenjak kecil lagi apabila beliau mendalami ilmu bahasa dan keagamaan di Mekah. Pada zaman pemerintahan Raja Ali, beliau memainkan peranan sebagai perdana menteri dan penasihat agama, sesuai dengan kebolehan beliau yang menguasai ilmu nahu, usuluddin, fiqh, dan tasauf (Mohd Pozi Haji Masurori 1997). Dalam bidang penulisan pula, Raja Ali Haji merupakan penulis pertama yang memberi definisi lengkap mengenai gurindam. Istilah gurindam sebelum itu tidak memiliki ciri dan bentuk yang khusus, sebaliknya hanya dianggap  sebagai ungkapan puisi biasa yang berbeza daripada pengucapan seharian. Selain itu, beliau juga merupakan pengarang Melayu pertama yang mengaplikasikan sistem pentarikhan ke dalam karya secara tepat dan jelas.
Kehebatan Raja Ali Haji sebagai tokoh pujangga Melayu juga terserlah melalui hasil tulisannya yang pelbagai. Kearifan beliau tidak sekadar terhad dalam bidang agama semata-mata, sebaliknya beliau turut berkarya dalam lapangan disiplin ilmu yang lain seperti bahasa, sejarah, dan ketatanegaraan. Antara karya yang dihasilkan oleh beliau termasuklah Syair Sultan Abdul Muluk (1847), Bustan Al-Katibin (1851), Thamarat Al-Muhimmah (1857), Mukaddimah Fi-Intizam (1857), Ikat-ikatan Dua Belas Puji (1857), Kitab Pengetahuan Bahasa (1858), Gurindam Dua Belas (1864), Silsilah Melayu dan Bugis (1865), dan Tuhfat Al-Nafis (1865).  Dalam himpunan karya-karya tersebut, Tuhfat Al-Nafis merupakan karya yang amat terkenal,. Karya tersebut dilihat begitu identik dengan diri beliau malah memainkan peranan sebagai magnum opus atau karya agung yang pernah dihasilkan oleh Raja Ali Haji. Namun demikian, Gurindam Dua Belas turut mempunyai mempunyai kedudukannya yang tersendiri. Meskipun dalam bentuknya yang ringkas, kelebihan Gurindam Dua Belas adalah terletak kepada daya pemikiran dan falsafahnya yang tinggi. Dalam ungkapan yang padat, Raja Ali Haji masih mampu menggabungjalinkan unsur estetika luaran dan keindahan dalaman. Istilah dan gaya bahasa yang digunapakai tidak bersifat lokal semata-mata, sebaliknya turut dipengaruhi pengaruh dan susunan nahu bahasa Arab (Shafie Abu Bakar 1996).


Gurindam Dua Belas mengandungi dua belas fasal yang membincangkan pelbagai persoalan kehidupan manusia, sama ada kehidupan di dunia, mahupun di akhirat. Antara persoalan yang terkandung dalam puisi tersebut termasuklah mengenai akidah dan tasauf, syariat rukun Islam, kepentingan akhlak, serta konsep pemerintahan. Setiap fasal dilihat berupaya menyentuh jiwa kesedaran masyarakat, sekaligus memainkan peranan penting bagi membentuk nilai keperibadian insan berlandaskan syariat Islam. Nilai-nilai Islam yang disusun dan digarap dalam Gurindam Dua Belas, secara tidak langsung mencerminkan contoh insan yang memiliki kualiti serta jati diri yang indah dan sempurna.   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan