Isnin, 28 November 2011

Bubur As-Syura, Karbala, dan ... (bunyinya Dot, dot, dot) -Bahagian 1-

Maka Tuan Puteri Lindungan Mentari 10 itupun sangguplah mencemar debu dek kerana hidung pesek baginda tercium akan wanginya bubur lambuk yang mengapung di setiap penjuru alam. Langsunglah lupa dalam benak akan enak ais krim dan coklat yang datangnya dari dunia barat. Cekatan disarungkan kasut tumit tinggi, meski Tuan Puteri Lindungan Mentari 10 itu orangnya rendang-rendang pohon bonzai sahaja. Hendak digebang biar panjang, hendak ditambah takut bidaah, maka terpaksalah diperikan bunyi kasut tumit tinggi itu seakan-akan 'kelepak-kelepuk, kelepak-kelepuk' bunyinya berulang kali. Kalau diikutkan kasad baginda, hendak sahaja jiwa kacau yang kebelaian itu menjerba terus kearah Imam Ali yang sedang membaca doa perasmian.

Meski Tuan Puteri Lindungan Mentari 10 itu bersenbunyi di balik pohon jering, akan tetapi bunyi kelepak-kelepuk yang melayut itu sudah cukup memantulkan satu tanda akan hadirnya baginda. Ditambah pula kononya Imam Ali itu selalu bersyaikh diri, punyai ilmu Khasyaf, dan Ilmu Khayal Lillah Lagi Tamam 12 Alam.  Tiada apa bena kehadiran Tuan Puteri Lindungan Mentari 10 itu pada pandangan Imam Ali.

Hatta Imam Ali yang berkulit putih awan itu pun mengambillah kain badar sila, sambil dimata-matai Tuan Puteri Lindungan 10.
"Ahh...tak terlawan kain antalas kita. Lagipun yang menggunakan kain-kain inikan kita-kita aja." Pekis baginda dalam lompongan kersik nafsu. Sungguh saat itu sudah hilanglah lawamah baginda, terus terbang datang amarah, jauh sekali bertemu mutmainnah.

Ingin baginda datang karib tapi takut datang kerama. Diperhalusi sahajalah dari balik pokok jering tersebut, dikecilkan mata yang sudah sedia sepet itu. Dilihat oleh baginda satu kawah bubur lambuk sudah usai dimasak.
Manis senyum Imam Muda itu...ahh, memandang wajahmu yang dari jauh ini sahaja, cukup membuat lidah terkelu menampung seribu rasa rindu. (Begitu agaknya bisik hati kecil baginda)

Cekatan Tuan Puteri Lindungan Mentari sepuluh mengeluarkan buku nota,
Sungguh pandangan baginda sudah tertambat. Satu persatu langkah diperhalusi.

Imam Ali memulakan gerak, dipanaskannya minyak, kemudian ditumisnya kulit kayu manis, bunga pelaga dan bunga lawang. Disatukan bersama bawang, bawang putih, dan halia yang sudah siap dikisar. Sungguh mengapung baunya, hampir terbersin baginda yang punya sakit resdung itu.

Lemah gemalai tingkah Imam Ali itu, bak lembutnya penari kebudayaan.
Imam Ali pun memasukkan rempah kurma, dikacau-kacau sampai warnanya jadi kelabu-kelabu, andai kering dicampurnya sedikit air, dikacau lagi sampai naik minyak.

Dimasukkan pula hirisan daging bersama beras dan air. Dibiarkan merenih sehingga daging dan beras masak.
Sesudah masaknya bubur, dimasukkan santan, sedikit garam dan gula menambah perisa. Pantang Imam Ali menggunakan Ajinomoto. Bubur daging yang sudah siap itu menerbitkan aroma yang tidak dapat diterjemah kata, diperikan bicara. Dihiasi pula dengan bawang goreng dan daun ketumbar...ahh..terkecur liurlah Tuan Puteri Lindungan Mentari 10 itu, hampir pengsan baginda di bawah pohon jering.

Selasa, 22 November 2011

Tip Memilih Bahan Makanan Secara Selamat

1) Ayam
  • Lihat pada kegemukan di dada dan kelicinan kulitnya
  • Tidak berbau busuk dan bertukar warna
2) Makanan Laut
  • Kulit yang bersinar dan berwarna terang dan tidak diselaputi oleh lendir yang tebal
  • Cerah dan matanya tidak tenggelam
  • Insang berwarna merah cerah (bukan perang atau kering)
  • Isi yang kenyal
  • Udang tidak rosak, kulitnya lutsinar tanpa tompok hitam
3) Makanan di dalam Tin
  • Tin tidak kemek, kembung atau berkarat,
  • Tudungnya tidak kembung
  • Jentik tin beberapa kali, pastikan tidak ada bunyi susulan dari dalam tin
4) Pilih Tempat Makan Yang Bersih
  • Tidak terlalu hampir dengan jalan raya
  • Jauh dari tempat ternakan haiwan
  • Ada keperluan asas yang bersih seperti air untuk membasuh
  • Bebas dari haiwan seperti kucing, anjing, burung, tikus, dan serangga 
5) Makanan yang dibungkus
  • Pastikan pembungkus tidak bocor atas basah
  • Pastikan makanan tidak dibungkus menggunakan bahan bercetak seperti kertas surat khabar atau kertas majalah hiburan
6) Pilih makanan yang dimasak dengan sempurna
  • Daging yang dimasak dengan sempurna mempunyai warna perang di dalamnya
  • Ayam yang telah dimasak mempunyai jus di dalamnya dan tidak berwarna merah cambu apabila dicucuk dengan garfu
  • Telur kuning dan putih tidak jernih atau lutsinar

Nota kaki : Diambil dan diubahsuai daripada
                  Tip Memilih Makanan, Berita Harian, 15 November 2011