Ahad, 9 September 2012

Hikayat Kijang Berekor Kasturi - Bahagian 2

 
     Tuan Puteri Shahrizad itu kerjanya angguk-angguk sedari tadi. Mahu sahaja ditempeleng dek Aswad, namun bimbang pula nanti bertambah jadinya cacat. Itulah tuan-tuan, hendak kita peringatkan, jangan sesekali makan sambil bercakap, atau tidur tertunggeng tiada adab, kononnya itu amalan ahli fikir. Dusta semata itu semua. Kerna yang namanya ahli fikir itu tuan-tuan tiada ia angguk-angguk geleng-geleng terkinja dengan leher dikalung rantai entah apa, bagai bangsa kera zaman baru yang kerjanya memanjat kelapa. Bimbang terus nanti andai tuan-tuan ditimpa akan penyakit wahan sebegini rupa.
     “Sungguh Nabi Sulaiman itu seorang nabi yang penuh tinggi budi pekerti. Dilayan sehabis baiklah akan bangsa kijang tersebut, bertambah suka di hati baginda menerima tetamu sedemikian rupa. Baada membai’at baginda, maka pulanglah bangsa kijang itu kedalam hutan sambil masing-masing menyebut alhamdulillah...alhamdulillah, sebanyak-banyaknya tanda syukur kepada Allah. Tiada bangsa kijang itu menyanyi lagu ‘Kijang Boleh’, yang dilafazkan hanya puji-pujian pada Tuhan Yang Esa.
     Wahai tuanku, ‘sirr’ Allah itu tiadalah dapat diduga oleh sesiapa, begitu andai kasad di hati itu mulia, akan dibalas dengan yang muluk-muluk jua. Dalam perjalanan pulang ke hutan semula, terbitlah suatu bau amat harum merdu, narawastu belum pernah diketemu.  Berpecahlah bangsa kijang mencari punca akan wangian tersebut namun tiada beroleh apa. Lelah mencari, entah bagaimana tersentuh jari seekor kijang kepada ekor sahabatnya yang lain. Dihidu-hidunya dalam-dalam, hingga bertelut dia sujud syukur kehadrat Allah, kerna dianugerahkan oleh Tuhan bauan yang semerbak pada ekor masing-masing.
     Adapun tuanku puteri, hendak ditambah rencah cerita, disebut oleh para ulama’ akan perihal kasturi ini iaitu, wanginya kasturi itu kekalnya ia tiada hilang meski disentuh dek empat puluh orang secara berantai. Masih kekal baunya kasturi itu. Subhanallah.
     Gempar dan pecahlah rimba dek mendengar berita perihal kasturi, masing-masing mengucap tahniah pada bangsa kijang yang dulu kononnya lemah.”
       Tuan Puteri Shahrizad sudah berhenti angguk-angguk, tersenyum simpul sambil berkelip-kelip mata menyebut ‘sesaat mendengar cerita kamu, ana jadi malu lulu lulu.’
     Menggeleng-geleng jualah si Aswad. Sungguh menggedik watak baru Tuan Puteri ini. Sengaja baginda mencabut bunga matahari yang disisip di telinga, dihidu dalam-dalam mencari kasturi barangkali. Sedar bahawa perilakunya diperhati, lantas Tuan Puteri berhenti menghidu dan pura-pura khusyuk kembali.
     “Kita enjoy.” Laung Tuan Puteri Shahrizad tersenyum manis.
     “Maka berita akan hal kasturi itu dapatlah dihidu oleh bangsa kera. Cekatan ketua bangsa kera ini menghimpun akan anak-anak buahnya mahu segera ke istana dengan satu tujuan, satu matlamat, mahu akan kasturi juga. Berdiri ketua bangsa kera diatas busut tinggi, berucap penuh berani.
     “Dengar sini wahai bangsaku, niatkan di hati masing-masing. Tiada mahu kita berekor wangi seperti kaum kijang. Kita mahu lebih daripada itu. Kita mahu lebih. Kita mahu biar punggung kita berbau wangi.” Bersoraklah bangsa kera bersemangat menggila lupa Tuhan lupa dunia.
     Tiba di istana Nabi Sulaiman, maka berbai’atlah bangsa kera ini pada Nabi Sulaiman. Sungguh mulianya baginda, dilayan bangsa kera itu sama sahaja dengan bangsa kijang dahulunya. Tiada pilih kasih, tiada mentor mentee kerna semua itu bakal merosak sahaja nanti.
     Gembiralah dihati bangsa kera tiada kepalang lagi. Dalam cepu fikir masing-masing membayangkan bagaimana gamaknya andai punggung mereka masing-masing itu berbau kasturi semerbak mewangi. Tentu najis mereka juga turut wangi sama, boleh dijual sebagai minyak wangi, meski kandungannya haram najis kera, tentu ramai sekali yang membeli dengan syarat, iklannya haruslah ada seorang adam, dengan wajahnya harus memancar nur kasih.
     Berjalanlah ketua bangsa kera di hadapan barisan penuh megah gagah menunggu masa menghidu bau harum. Nah, telah kita khabarkan tadi prihal hati yang mana sifatnya itu amatlah ajaib, maka timbullah sifat kurang sabar dalam dada naib ketua bangsa kera. Menggumam dia perlahan menyebut-nyebut akan kasturi, tiada tertahan lagi.
      Dadanya berdebur kencang, bagai kencangnya angin ribut meragut segala apa di hadapan. Tiada mahu lagi dia menunggu-nunggu akan bau, sudah tiada sabar lagi. Lagi pula saat itu naib ketua bangsa kera itu menghidap dia akan penyakit resdung, datang iri bersulam dengki dalam hati, tiada mahu kera yang lain mencicip bau kasturi terlebih dahulu sebelum dirinya sendiri.
      Kelakuan pelik naib ketua bangsa kera itu tiada apa bena dek sesiapa. Langsung niatnya diperkuat. Dirapatkan kedua belah tapak tangan kiri dan kanan, dikeluarkan akan hanya kedua-dua jari telunjuk sahaja seraya laju sekali dia mencucuk punggung ketua bangsa kera dua tiga kali dalam-dalam. Fikirnya mahu terus bau kasturi itu bocor menyimbah dirinya di belakang.
     Melaung melalaklah akan ketua bangsa kera itu keras amat. Pecah seluruh belantara. Sedang yang lain pula menghidu bau busuk teramat keras dari punggung masing-masing tiada tertahan, hingga semuanya bertebaran lari memanjat pokok sana-sini.”
     Tuan Puteri Shahrizad itu bingkas bangun memasang niat;
     “Selepas ini, tiada lagi beta mahu melulut akan jenama ‘gadis sutera’ lagi. Beta mahu kasturi sahaja.”
Begitulah tuan-tuan telah kita babadkan sebuah hikayat bukan semata tentang kasturi, ada diselit ingatan yang lain andai ada yang sedar tiada nyedar. Akan si Aswad itu, tidaklah tercatit dalam mana-mana buku sejarah, atau buku teks di sekolah-sekolah, bahawasanya telah dianugerah sebidang tanah, beratus ekor kambing ternakan, jua yang paling mahal, dikahwinkan dia oleh Tuan Puteri Shahrizad akan kambing betina istana yang cantik jelita. Itu peri kononnya kambing kacukan pada zaman tuan-tuan yang diberi nama Dolly itu, keturunan Aswad entah yang keberapalah.
     Wallahu a’lamu bis-sawab, wa ilaihil-marji’u wal-ma’ab.

Selasa, 24 Julai 2012

Ahli Kitab -Bahagian 1



Ulama berselisih pendapat dalam menentukan siapakah yang dikatakan golongan ahli kitab sebagaimana yang disebut dalam al-Quran.
            Ulama mazhab Hanafi berpendapat bahawa ahli kitab ialah setiap golongan yang berpegang dengan agama samawi dan terdapat pada mereka kitab yang diturunkan oleh Allah s.wt seperti Taurat, Injil, suhuf Ibrahim dan Shith serta kitab Zabur. Maka menurut pendapat mereka, ahli kitab itu tidak terbatas kepada golongan Yahudi dan Nasrani sahaja, termasuk di dalamnya golongan lain yang diturunkan kitab kepada mereka oleh Allah s.wt. Mereka berpendapat bahawa setiap agama samawi diturunkan bersama kitab-kitab tertentu.
            Jumhur ulama pula berpendapat bahawa ahli kitab ialah golongan Yahudi dan Nasrani sahaja. Mereka berpendapat demikian berdasarkan firman Allah s.w.t:
Maksud:
Supaya kamu tidak mengatakan: “Bahawa kitab (agama) itu hanya diturunkan kepada golongan (Yahudi dan Nasrani) dahulu sebelum kami.
(Surah al-An’am 6:156)
            Ayat di atas menunjukkan bahawa golongan ahli kitab hanyalah dalam kalangan Yahudi dan Nasrani sahaja. Menurut mereka, suhuf yang diturunkan itu hanya mengandungi peringatan dan perumpamaan tetapi tidak terdapat hukum di dalamnya, maka ia bukanlah kitab kerana tidak mengandungi hukum hakam.
Pendapat jumhur ulama merupakan pendapat yang tepat, kerana al-Quran menggunakan nama ahli kitab kepada golongan Yahudi dan Nasrani sahaja tetapi tidak kepada golongan lain selain mereka, maka ia khusus kepada mereka sahaja. Pendapat ini turut dipersetujui oleh Imam al-Jassas dan ia dinyatakan dalam kitabnya Ahkam al-Quran.
            Kesimpulannya, nama ahli kitab yang terdapat dalam al-Quran adalah ditujukan kepada golongan Yahudi dan Nasrani sahaja.

YAHUDI


Dari segi bahasa, terdapat perbezaan dalam kalangan ulama dalam menentukan perkataan يهود. Adakah ia dari bahasa arab atau sebaliknya.
            Sebahagian ulama mengatakan bahawa ia daripada bahasa Arab iaitu perkataan (الهود). Menurut al-Akhfash, al-Haud (الهود) jama ha’id (هاءيد) seperti  عاءيد dan عود. Makna هاد, يهود, هود dan تهود ialah bertaubat dan kembali kepada kebenaran. Dalam al-Quran disebutkan  اناهدنااليك iaitu kami bertaubat kepadamu. Ini adalah pendapat yang dikemukakan oleh Mujahid dan Sa’id ibn Jubair.

Mereka dinamakan seperti itu kerana mereka bertaubat daripada kesalahan mereka menyembah al-Ajl (patung anak lembu). Menurut Ibn Arabi pula, disebut هاد apabila kembali daripada kebaikan kepada kejahatan atau kejahatan kepada kebaikan.
Sebahagian ulama pula mengataka ia bukan daripada bahasa Arab tetapi dinisbahkan kepadaYahudha (يهوذا) yang merupakan salah seorang anak Nabi Ya’kub a.s. Menurut al-Qurtubi, Yahudi dinisbahkan kepada يهوذ dibaca dengan ذال. Yahudha adalah seorang anak Ya’kub a.s.asal kalimah Yahudha bukan nama Arab (Ajam), apabila diarabkan kalimah tersebut, ditukarkan huruf ذال kepada دال dan lahirlah يهود.
            Menurut Ibn Arabi, يهوذ ialah nama suatu kalimah yang nama asalnyajuga ialah  يهوذ lalu ditukar huruf ذال kepada دال. Menurut Ibn Sidah, ini bukanlah pendapat yang kuat. Walaupun begitu, sebahagian ulama memilihnya sebagai pendapat yang tepat.
            Dari segi istilah, mereka yang dikatakan yahudi ialah golongan yang mendakwa diri mereka sebagai pengikut Nabi Musa a.s. Dalam al-Quran, mereka juga dinamakan “Kaum Musa” dan Bani Israil iaitu dinisbahkan kepada Nabi Ya’kub a.s.
            Perlu ditegaskan  bahawa penggunaan nama Yahudi terhadap mereka dalam al-Quran hanya dalam keadaan mencela mereka. Ia dapat dilihat dalam banyak ayat, antaranya ialah:

  
Maksud:
Dan orang yahudi berkata: “tangan Allah terbelengu (bakhil-kikir)”.
(Surah al-Ma’idah 5:64)
Maksud:
Orang Yahudidan Nasrani berkata: “Kami dalah anak-anak Allah dan yang sangat disayangi-Nya”.
(Surah al-Ma’idah 5:18)
Maksud:
Dan orang Yahudi berkata: “Uzair ialah anak Allah”.
(Surah at-Taubah 9:30)

Ayat-ayat yang dinyatakan tersebut menunjukkan bahawa mereka dikenali dengan nama Yahudi setelah keadaan mereka rosak dan menyeleweng daripada agam Allah s.w.t yang sebenar. Nama ini (Yahudi) adalah nama yang lebih layak lagi bagi mereka kerana ia digunakan untuk melaknat dan menzahirkan kejahatan mereka.

bersambung...

Ahad, 22 Julai 2012

Kita dan Sejarah - Gurindam 12 Raja Ali Haji

(Tiada Gurindam Sehebat Gurindam 12)


Raja Ali Haji bin Raja Haji Ahmad, merupakan salah seorang tokoh pujangga Melayu yang dilahirkan dalam keluarga bangsawan di Pulau Penyengat, Riau. Beliau merupakan cucu kepada Raja Haji, atau lebih dikenali sebagai Marhum Teluk Ketapang yang syahid di Melaka sewaktu berperang menentang Belanda. Salasilah beliau kemudiannya disusurgalurkan lagi hingga kepada Daeng Chelak, salah seorang daripada lima daeng yang memainkan peranan penting dalam sistem politik di bahagian Barat alam Melayu suatu ketika dahulu (Mohd Taib Osman 1976). Pengaruh dan ketokohan beliau dalam bidang keilmuan bermula semenjak kecil lagi apabila beliau mendalami ilmu bahasa dan keagamaan di Mekah. Pada zaman pemerintahan Raja Ali, beliau memainkan peranan sebagai perdana menteri dan penasihat agama, sesuai dengan kebolehan beliau yang menguasai ilmu nahu, usuluddin, fiqh, dan tasauf (Mohd Pozi Haji Masurori 1997). Dalam bidang penulisan pula, Raja Ali Haji merupakan penulis pertama yang memberi definisi lengkap mengenai gurindam. Istilah gurindam sebelum itu tidak memiliki ciri dan bentuk yang khusus, sebaliknya hanya dianggap  sebagai ungkapan puisi biasa yang berbeza daripada pengucapan seharian. Selain itu, beliau juga merupakan pengarang Melayu pertama yang mengaplikasikan sistem pentarikhan ke dalam karya secara tepat dan jelas.
Kehebatan Raja Ali Haji sebagai tokoh pujangga Melayu juga terserlah melalui hasil tulisannya yang pelbagai. Kearifan beliau tidak sekadar terhad dalam bidang agama semata-mata, sebaliknya beliau turut berkarya dalam lapangan disiplin ilmu yang lain seperti bahasa, sejarah, dan ketatanegaraan. Antara karya yang dihasilkan oleh beliau termasuklah Syair Sultan Abdul Muluk (1847), Bustan Al-Katibin (1851), Thamarat Al-Muhimmah (1857), Mukaddimah Fi-Intizam (1857), Ikat-ikatan Dua Belas Puji (1857), Kitab Pengetahuan Bahasa (1858), Gurindam Dua Belas (1864), Silsilah Melayu dan Bugis (1865), dan Tuhfat Al-Nafis (1865).  Dalam himpunan karya-karya tersebut, Tuhfat Al-Nafis merupakan karya yang amat terkenal,. Karya tersebut dilihat begitu identik dengan diri beliau malah memainkan peranan sebagai magnum opus atau karya agung yang pernah dihasilkan oleh Raja Ali Haji. Namun demikian, Gurindam Dua Belas turut mempunyai mempunyai kedudukannya yang tersendiri. Meskipun dalam bentuknya yang ringkas, kelebihan Gurindam Dua Belas adalah terletak kepada daya pemikiran dan falsafahnya yang tinggi. Dalam ungkapan yang padat, Raja Ali Haji masih mampu menggabungjalinkan unsur estetika luaran dan keindahan dalaman. Istilah dan gaya bahasa yang digunapakai tidak bersifat lokal semata-mata, sebaliknya turut dipengaruhi pengaruh dan susunan nahu bahasa Arab (Shafie Abu Bakar 1996).


Gurindam Dua Belas mengandungi dua belas fasal yang membincangkan pelbagai persoalan kehidupan manusia, sama ada kehidupan di dunia, mahupun di akhirat. Antara persoalan yang terkandung dalam puisi tersebut termasuklah mengenai akidah dan tasauf, syariat rukun Islam, kepentingan akhlak, serta konsep pemerintahan. Setiap fasal dilihat berupaya menyentuh jiwa kesedaran masyarakat, sekaligus memainkan peranan penting bagi membentuk nilai keperibadian insan berlandaskan syariat Islam. Nilai-nilai Islam yang disusun dan digarap dalam Gurindam Dua Belas, secara tidak langsung mencerminkan contoh insan yang memiliki kualiti serta jati diri yang indah dan sempurna.   

Jumaat, 20 Julai 2012

Hikayat Kijang Berekor Kasturi - Bahagian 1


     Ini cerita anak-anak. Kerna molek sekali anak-anak saat mahu beradu itu didendangkan dengan kisah yang penuh hikmah buat bekal nanti berkunjung ke daerah mimpi. Entah sakit pinggang atau sakit lutut tiadalah kita pasti kerna orang tua hari ini berlagu entah apa-apa sambil memeri cerita tentang patung kayu yang hidungnya konon boleh memanjang sedepa apakala berkata penuh dusta. Sungguh itu datangnya dari barat dunia yang mana isinya tiada lain tiada bukan buat menyesat kerabat. Bimbang sekali kita tatkala besar nanti, saat ketemu teman sepermainan di sekolah yang mana hidungnya mancung meninggi, atau terserempak anak-anak warga Nepal di perkampungan setinggan hadhari, langsung dijerit dengan panggilan Pinochio. Ishh, jadi malu nenek moyang nanti. Inilah mahu kita babadkan sebuah kisah tentang kasturi. Adapun kasturi itu bukanlah yang bertikam mengamuk segala dengan Hang Tuah, akan tetapi kasturi ini tuan-tuan menjadi ia jebat-jebatan, pengubat rasa resah, penghidup hati gundah, kerna wangi-wangian itu tiada lain menjadi ia santapan roh juga buat manusia. Nanti tiadalah dikatakan tolol andai anak-anak kita bertanya dari mana asalnya kasturi. Tiada perlulah kita mereka-reka cerita kononnya kasturi adalah ia sejenis tumbuhan yang ditarik dari alam kayangan setelah seorang anak muda yang berhingus tiada kering, memanjat pohon kacang yang tinggi langit menjulang.

     Ini kisah anak-anak, mahu kita kongsikan buat bapak-bapak jua. Andai ada silap salah kita menggulung lidah, mohon kita berlindung tiada lain kepada Allah sahajalah agar tiada kita mendapat dosa sejelepuk percuma. Terus kita sembahkan sebuah hikayat tentang kijang berekor kasturi, moga-moga dengannya nanti peroleh kita pahala mencurah, dapat kita ke syurga bertemu para nabi.

     Adapun suatu masa dahulu tuan-tuan, terdapatlah sebuah lembah kering kontang, dek kerana tiada hujan sudi menyimbah. Panasnya akan tanah lembah itu hinggakan gagak yang menapak tiada mampu kembali mengepak. Nah disebelah lembah tersebut adalah sebuah negeri yang besar sekali. Hendak diperikan sebesarmana negeri itu tiadalah kita mampu kerna lidah kita ini masing-masing tiadalah sebesar manapun. Cuma yang mampu dikerja dek lidah ini hanya membesar-besar sahajalah. Oleh asbab itu jua ramai sekali akan hamba gemar membesar diri yang hina berbanding membesar Allah yang esa.

     Ini lagi kita menambah, meski negeri itu agam lagi indah, sedih sekali kerna rakyatnya miskin-miskin, botak-botak kepala semuanya. Nun di belah hujung hiduplah seekor kambing putih menyendiri, beruzlah dia tiada mahu menambah dosa membotak-botak kepala dengan alasan kononnya mualaf itu segala salah tiada menjadi punah. Jua tiada mahu dia membuka baju menunjuk pekung di serata dada berjahit huruf ‘S’ yang maksudnya entah apa. Entah ‘S’ itu Syaitan barangkali, na’udzubillah.

Adapun kambing ini ronanya tiada lain, warnanya putih gebu lebih putih dari susu yang putih memutih. Digelar oleh segala rakyat akan kambing putih ini dengan nama Aswad sahaja. Dek kerana melaratnya rakyat, langsung timbul nekad dalam hati nurani Aswad, mahu ia menjadi pengembala kambing biri-biri.

     Maka pada suatu hari yang panas, sedang Si Aswad mengembala di padang yang luas, jauh-jauh dilihat kelibat seorang perempuan berjalan kearahnya malas-malas. Setelah lama memerhati dalam-dalam, ketahuilah oleh Aswad bahawasanya dia itu didatangi oleh Tuan Puteri Shahrizad seorang diri tiada ditandu diiring segala orang istana.

     Duduk Tuan Puteri Shahrizad pada seketul batu besar, sambil tangan memegang kepala, kononnya sudah pusing dek panahan cahaya panas tajam meruncing. Apakala melihat kelakuan dibuat-buat itu lantas melimpas dalam jiwa kecil Aswad akan kata-kata tiada mulia. Terdetik dalam hatinya itu;

     ‘Ada aku kisah!’

     Namun terus sahaja dia beristighfar memohon ampun kepada Tuhan kerana salahnya dia mengungkap kata, meski tiada yang mendengar di dalam dada.  Dihampirinya akan Tuan Puteri Shahrizad itu mengangkat sembah. Dek melihatkan perbuatannya gedik-gedik itu mendapat perhatian, meluap-luap gembira dalam hati Tuan Puteri itu.

     “Ampun tuanku, apa gerangan tuanku bermuram durja. Apa cutikah badut-badut di istana?”

     Terasa diri bagai dicucuk-cucuk dengan lidi.

     “Ish, Maharaja Badut beta cuti. Lagi pula lawaknya entah apa-apa, naik geli beta melihat badut Nepal terkangkang-kangkang sengaja memakai seluar rabak berlubang. Bukan beta tiada bayar gaji buat membeli kain yang baru.”

     “Habis, tuanku melihat aurat lah gamaknya?”

     Langsung terkulat-kulat Tuan Puteri Shahrizad menahan malu.

     “Nanti dituduh pula beta kufur nikmat. Ah, tiada gunanya beta berbasi-basi lagi. Adapun tujuan utama hadir beta ke padang kamu ini Aswad, ingin sekali mendengar cerita kamu. Cerita kamu yang dulu-dulu itu gemar sekali baginda sultan mendengar sebelum beradu. Sampai habis semuanya diperi langsung terlupa hadir kemari.”

     Itulah tuan-tuan sekalian, sungguh manusia itu mudah lupa. Dahulu saat sukar sebelum kaya selalu niatnya mahu menderma, manusia mudah lupa. Dahulu saat sebelum menunai haji selalu berniat melitup kepala, manusia mudah lupa.

     Termangulah Tuan Puteri Shahrizad itu sambil melayang pandang kearah luas padang, langsung bermadah tiada kena bunyinya;

     ‘Indah mata memandang, indah lagi bahu memikul.’

     Tiada dapat ditahan dalam dada Aswad saat itu mahu membantu apa yang daya. Sudah dididik dia sedari kecil muhabat akan kedamaian. Tiada mahu berkesumat. Perlahan dilabuh punggung nan putih disebelah Tuan Puteri yang masygul menyendiri.

          “Marilah tuanku kita peri sesuatu. Kasad kita tiada lain mahu langit terus mendatar, tiada rebah menyembah bumi. Akan tetapi yang mahu digebang ini bukan sebarang kisah, tuanku. Adapun kisahnya itu janganlah dilayangkan pada yang lain, kerna kisah sebegini untuk kita-kita aja, tuanku.”

     Terus Tuan Puteri Shahrizad bangkit, menari terkinja-kinja seperti ungka tiada sedar diri buat seketika. Sudah puas dan datang semput barulah dia menadah tangan ke muka langit menyebut alhamdulillah...alhamdulillah, beberapa kali.
Menggeleng-geleng kepala Aswad hampir sahaja mahu terteleng. Sungguh perangai Tuan Puteri tiada senonoh. Pendek kata, panjang bicara, boleh sahaja dianggap Tuan Puteri ini menghidap penyakit cacat akal yang kekal dek tabiat yang suka main sandar-sandar. Suara pula kecil macam anak-anak belum tahu belajar.
     “Tuanku, ini mahu kita ingatkan kisah ini kisah kaum kita. Namun janganlah dipandang hina akan binatang kerna binatang itu boleh jadi lebih mulia daripada manusia.”
     Angguk-angguk Tuan Puteri, entah faham entah tidak.
    “Suatu zaman dahalu, lama dahulu, moyang tuanku pun masih belum dilahirkan saat itu. Di dalam rimba nan luas menebal, hidup rukun berbilang bangsa binatang. Maka telah datanglah ketentuan Tuhan, melantik Nabi Sulaiman a.s, sebagai rasul menyampai kebenaran. Besar sekalilah kerajaan baginda itu. Bertebaran berita tersebut sampai kepada segenap lapis hidupan, baik bangsa manusia, baik bangsa jin, juga bangsa haiwan. Sungguh Nabi Sulaiman a.s itu diberikan keistimewaan oleh Allah s.w.t, dapat baginda berbicara dengan haiwan, dapat jua baginda mengarah kaum jin yang sukar dijinakkan.
     Seusai berita diterima, beratur berbarislah bangsa haiwan berkumpul mahu menuju ke istana Nabi Sulaiman a.s, dengan satu niat, menyatakan bai’at, jua menyembah rasa syukur diiring ucapan gembira di hati.
     Adapun tuanku, adalah bangsa kijang dan bangsa kera itu tiada awal mahu menuju ke istana. Terasa di dalam hati bahawa diri sebagai kijang itu tiadalah sebaik mana mahu berhadapan dengan baginda. Sugullah di hati kaum kijang itu, lama sekali memendam hajat dan hasrat mahu ke istana tetapi ditahan.
     Sungguh tuanku, hati itu dinamakan hati oleh Tuhan kerna sifatnya yang berbalik-balik. Ditiupkan oleh Allah kepada hati, terus berubah bangsa kijang sekalian itu mahu menuju ke istana tiada semena-mena. Dalam perjalanan menempuh segala tabal hutan, tiada lain hanyalah mengharapkan agar kedatangan bangsa mereka itu nanti disambut baik oleh baginda Nabi Sulaiman.      
     Seharian berjalan, peluhnya bukan sedikit, puas mendaki cangkat dan bukit. Tiba jualah di istana Nabi Sulaiman.”

Bersambung...

Kita dan Sejarah - Manuskrip Melayu Lama




Manuskrip Melayu merupakan salah satu hasil seni dan bukti keunggulan daya cipta masyarakat Melayu tradisional pada zaman dahulu. Manuskrip Melayu ditakrifkan sebagai karya-karya yang ditulis tangan, menggunakan tulisan jawi, serta dihasilkan pada akhir abad ke-15 hinggalah awal abad ke-20 (sebelum wujudnya mesin cetak di Pulau Pinang pada 1806). Sebelum wujudnya sistem tulisan, masyarakat Melayu tradisional terlebih dahulu hanya menggunakan tradisi lisan bagi mengembangkan sesebuah cerita ataupun pemikiran mereka. Namun demikian, tradisi lisan ini dilihat tidak berupaya menjadi satu warisan yang hadir dalam bentuk yang nyata, sebaliknya sekadar menjadi little tradition.

            Setelah masyarakat tradisional keluar daripada kepompong primitif tersebut, perbincangan mengenai pemikiran, akal budi, dan wacana masyarakat Melayu kemudiannya meningkat menjadi great tradition yang berkisar mengenai persoalan sejarah, agama, ketatanegaraan, serta perubatan, yang lebih tersusun dan kemas. Apatah lagi apabila tibanya gelombang penyebaran Islam yang dibawa oleh kumpulan pedagang dari Tanah Arab, Parsi dan India, tulisan Pallava atau Kawi kemudiannya semakin ditinggalkan, dan digantikan dengan tulisan jawi. Naskhah-naskhah lama yang ditulis menggunakan tulisan jawi inilah yang disebut sebagai manuskrip Melayu.

            Pada awalnya, manuskrip ditulis di atas kepingan batu dengan menggunakan pahat. Terdapat juga manuskrip awal yang ditulis pada lumpur-lumpur yang telah dikeringkan. Disebabkan terdapatnya kesukaran dalam penulisan, masyarakat Melayu dengan akal cipta dan kepintarannya, telah menghasilkan satu alternatif lain iaitu kertas yang diperbuat daripada kulit kayu, kulit binatang, daun lontar, kepingan buluh, dan papan. Setiap satu hamparan tersebut ditulis mengikut cara atau kaedah yang tersendiri. Disebabkan ruang tulisan yang terhad, maka isi tulisan hanyalah berkisar mengenai perkara-perkara yang penting sahaja seperti jurai keturunan dan salasilah keluarga, adat istiadat raja, serta pantang larang kehidupan. Terdapat tiga jenis kalam yang digunapakai oleh masyarakat tradisional dalam penghasilan manuskrip iaitu kalam resam, kalam kabung, serta kalam dari bulu binatang. Kepintaran masyarakat tradisional juga terbukti apabila berupaya menghasilkan dakwat yang bersumberkan alam. Bagi menghasilkan dakwat berwarna hitam, jelaga damar akan dicampurkan dengan madu dan getah. Pokok lembayang pula digunakan bagi mendapatkan dakwat berwarna ungu, kulit buah manggis bagi mendapatkan warna coklat, kesumba bagi mendapatkan warna merah, campuran kunyit dan kapur yang diperam akan menghasilkan warna kuning, jus daripada daun tarum bagi mendapatkan warna biru, serta larutan putik kelapa bagi mendapatkan warna hijau.

            Terdapat pelbagai fungsi dan sebab terhasilnya sesebuah naskhah manuskrip. Seandainya diteliti secara mendalam, sistem keilmuan dan tulisan pada awalnya tertumpu pada institusi beraja dan bangsawan sahaja, sebelum ianya tersebar golongan rakyat biasa. Istana telah memainkan peranan yang penting sebagai pusat ilmu serta tempat berkumpulnya para cendekiawan yang mahir dalam bidang karang mengarang. Salah satu sebab manuskrip ditulis adalah atas perintah raja dalam sesebuah kerajaan itu sendiri. Antara isi yang selalu dikaitkan dengan naskhah istana termasuklah sejarah kehebatan sesebuah kerajaan, asal-usul keturunan raja, serta peraturan-peraturan dalam sesebuah negara. Maka, wujudlah tulisan-tulisan seperti Sejarah Melayu yang mengisahkan tentang sejarah kerajaan Melaka, Hikayat Pasai mengenai sejarah Pasai, Bustan Al- Salatin sebagai karya ketatanegaraan, serta Undang-undang Laut Melaka iaitu karya mengenai peraturan di laut. Bagi naskhah-naskhah yang berlegar dalam kelompok masyarakat biasa, manuskrip memainkan peranan sebagai alat hiburan, dan hanya dikeluarkan pada waktu-waktu tertentu sahaja untuk dibaca.


            Terdapat pelbagai genre atau jenis manuskrip, bergantung kepada isi atau persoalan yang terdapat dalam naskhah tersebut. Selain persoalan sejarah yang mengangkat dan mengagungkan kerabat diraja, terdapat juga intipati lain yang diutarakan dalam manuskrip-manuskrip Melayu termasuklah karya hikayat yang bersifat hiburan. Karya hikayat ini adalah mengenai kisah pengembaraan putera puteri yang memiliki paras rupa yang cantik, serta sentiasa menang dalam segala kesulitan dan peperangan. Kitab agama pula merupakan himpunan ilmu mengenai syariat Islam, yang kebanyakannya ditulis serta disadur daripada karya-karya luar seperti dari Parsi dan Timur Tengah. Golongan ulama’ memainkan peranan yang sangat penting bagi memastikan syiar Islam berkembang dalam bentuk tulisan. Kitab petua dan azimat pula memandu masyarakat bagi mendapatkan petua tertentu yang memudahkan kehidupan seharian, manakala kitab tib pula merujuk kepada kitab perubatan Melayu yang menggunakan alam flora dan fauna sebagai bahan perubatan.


            Sesebuah kerajaan yang kuat pada akhirnya tetap akan mengalami zaman kejatuhan. Antara punca kejatuhan sesebuah kerajaan itu adalah disebabkan sistem pemerintahannya yang lemah, berlakunya pemberontakan dalaman, serta serangan daripada pihak musuh dari luar. Nasib manuskrip sebagai naskhah intelektual Melayu sedikit sebanyak bergantung kepada nasib sesebuah kerajaan itu sendiri. Apabila berlakunya peperangan di antara dua buah kuasa besar, maka institusi istana menjadi sasaran awal untuk dimusnahkan. Maka segala khazanah penulisan yang dikumpulkan di istana pada akhirnya turut sama musnah, sama ada dibawa pulang sebagai rampasan, ataupun dibakar bersama istana. Kedatangan kuasa Barat sebagai penjajah, membuka satu lagi lembaran hitam mengenai ‘kepupusan’ manuskrip Melayu. Naskhah-naskhah Melayu lama telah menjadi senjata yang paling berkesan bagi pihak penjajah mendalami pemikiran, kekuatan, sekaligus kelemahan masyarakat Melayu sebelum memulakan penjajahan. Pada awalnya, pedagang Barat serta bangsawan Eropah memperolehi manuskrip melalui hadiah daripada sultan. Mereka kemudiannya menyedari betapa penting dan berkuasanya naskhah-naskhah tersebut bagi melentur kelemahan masyarakat Melayu itu sendiri yang tidak menghargai karya tempatan. Maka, mereka kemudiannya membawa pulang ribuan naskhah sebagai ‘tawanan’ peperangan yang sangat tinggi nilai harganya. Stamford Raffles sebagai contoh, telah berjaya mengumpulkan satu koleksi manuskrip yang kemudiannya dibawa pula ke Eropah dengan menggunakan kapal The Fame pada tahun 1823. Naskhah-naskhah tersebut pada hari ini menerima nasibnya yang sangat malang, iaitu nilai lokaliti masyarakat Melayu yang terpenjara di muzium-muzium benua Eropah. Pengkaji-pengkaji Melayu juga terpaksa menjadikan Eropah sebagai ‘transit’ kajian mengenai manuskrip Melayu, meskipun mereka (Barat) langsung tidak mempunyai kaitan mengenai wacana yang terdapat di dalam naskhah. Dianggarkan terdapat sekitar 3000 buah naskhah manuskrip Melayu di Eropah, yang disimpan di pelbagai penjuru di benua tersebut.

            Namun demikian, masyarakat Melayu pada hari ini harus melihat peristiwa tersebut sebagai salah satu ‘rahmat’ yang membuka mata masyarakat tempatan mengenai penting dan berharganya manuskrip Melayu. Pelbagai interpretasi boleh dilihat melalui peristiwa sejarah yang berharga dalam setiap fasal dan period yang dialui oleh sesebuah naskhah Melayu tradisional. Pengkaji-pengkaji pada akhirnya mula menyedari hakikat tersebut, dan memulakan gerakan menggali semula ketamadunan dan keunggulan akal budi masyarakat Melayu suatu ketika dahulu, yang dipancarkan melaui tulisan-tulisan jawi, yang disebut sebagai Manuskrip Melayu.

Sabtu, 10 Disember 2011

Masak-Masak Bubur... Bahagian 2

Tadi malam entah apa-apa yang saya rasiankan. Tmbul tenggelam wajah kabur seorang puteri (meski kabur-tetap indah wajahnya, kerana baginda seorang puteri) yang bermain sembunyi-sembunyi, tentang seorang lelaki berjubah dan berjanggut. Saya yang bangkit dari tidur hanya dapat mengingat sedikit sahaja bahagian dari mimpi tersebut. Sayang sekali saya tidak menulis sesuatu apabila terjaga.

Hari keesokannya adalah hari yang amat memenatkan, tetapi juga mengujakan. Tumpuan sepenuh hari ditumpahkan pada aktiviti memasak bubur as syura di perkarangan Kolej Ungku Omar. Amat seronok mesti saya dibatasi waktu yang cemburu untuk lebih lama di sana.

Sekretariat Kerohanian dan Kelab Iqra' sama-sama berpadu tenaga. Tiga kawah bubur berjaya dimasak. meski pada peringkat awal, terdapat satu kawah yang hangit dan terpaksa dibuang (kaum lelaki leka berborak)

Sambil mengacau bubur, Hafiz Saidin sempat berbual mengenai Hari Asyura. Tak perlulah saya perikan semua butir-butirnya. Sungguh dia seorang yang banyak membaca. Tentang bagaimana Nabi Nuh diselamatkan, bagaimana Tuhan menciptakan Alam, bagaimana peristiwa Karbala berlaku. Oh, kalau orang Minang (ayah saya orang Minang), menyebutnya sebagai hari Tabui kalau tidak silap.



Malamnya diisi dengan program ceramah, yang disampaikan oleh sahabat saya juga, Khalil Razak, amat memukau sekali isinya. Sungguh....tidak ada jalan mencari ketenangan, kecuali dengan mengingati Tuhan.

Isnin, 28 November 2011

Bubur As-Syura, Karbala, dan ... (bunyinya Dot, dot, dot) -Bahagian 1-

Maka Tuan Puteri Lindungan Mentari 10 itupun sangguplah mencemar debu dek kerana hidung pesek baginda tercium akan wanginya bubur lambuk yang mengapung di setiap penjuru alam. Langsunglah lupa dalam benak akan enak ais krim dan coklat yang datangnya dari dunia barat. Cekatan disarungkan kasut tumit tinggi, meski Tuan Puteri Lindungan Mentari 10 itu orangnya rendang-rendang pohon bonzai sahaja. Hendak digebang biar panjang, hendak ditambah takut bidaah, maka terpaksalah diperikan bunyi kasut tumit tinggi itu seakan-akan 'kelepak-kelepuk, kelepak-kelepuk' bunyinya berulang kali. Kalau diikutkan kasad baginda, hendak sahaja jiwa kacau yang kebelaian itu menjerba terus kearah Imam Ali yang sedang membaca doa perasmian.

Meski Tuan Puteri Lindungan Mentari 10 itu bersenbunyi di balik pohon jering, akan tetapi bunyi kelepak-kelepuk yang melayut itu sudah cukup memantulkan satu tanda akan hadirnya baginda. Ditambah pula kononya Imam Ali itu selalu bersyaikh diri, punyai ilmu Khasyaf, dan Ilmu Khayal Lillah Lagi Tamam 12 Alam.  Tiada apa bena kehadiran Tuan Puteri Lindungan Mentari 10 itu pada pandangan Imam Ali.

Hatta Imam Ali yang berkulit putih awan itu pun mengambillah kain badar sila, sambil dimata-matai Tuan Puteri Lindungan 10.
"Ahh...tak terlawan kain antalas kita. Lagipun yang menggunakan kain-kain inikan kita-kita aja." Pekis baginda dalam lompongan kersik nafsu. Sungguh saat itu sudah hilanglah lawamah baginda, terus terbang datang amarah, jauh sekali bertemu mutmainnah.

Ingin baginda datang karib tapi takut datang kerama. Diperhalusi sahajalah dari balik pokok jering tersebut, dikecilkan mata yang sudah sedia sepet itu. Dilihat oleh baginda satu kawah bubur lambuk sudah usai dimasak.
Manis senyum Imam Muda itu...ahh, memandang wajahmu yang dari jauh ini sahaja, cukup membuat lidah terkelu menampung seribu rasa rindu. (Begitu agaknya bisik hati kecil baginda)

Cekatan Tuan Puteri Lindungan Mentari sepuluh mengeluarkan buku nota,
Sungguh pandangan baginda sudah tertambat. Satu persatu langkah diperhalusi.

Imam Ali memulakan gerak, dipanaskannya minyak, kemudian ditumisnya kulit kayu manis, bunga pelaga dan bunga lawang. Disatukan bersama bawang, bawang putih, dan halia yang sudah siap dikisar. Sungguh mengapung baunya, hampir terbersin baginda yang punya sakit resdung itu.

Lemah gemalai tingkah Imam Ali itu, bak lembutnya penari kebudayaan.
Imam Ali pun memasukkan rempah kurma, dikacau-kacau sampai warnanya jadi kelabu-kelabu, andai kering dicampurnya sedikit air, dikacau lagi sampai naik minyak.

Dimasukkan pula hirisan daging bersama beras dan air. Dibiarkan merenih sehingga daging dan beras masak.
Sesudah masaknya bubur, dimasukkan santan, sedikit garam dan gula menambah perisa. Pantang Imam Ali menggunakan Ajinomoto. Bubur daging yang sudah siap itu menerbitkan aroma yang tidak dapat diterjemah kata, diperikan bicara. Dihiasi pula dengan bawang goreng dan daun ketumbar...ahh..terkecur liurlah Tuan Puteri Lindungan Mentari 10 itu, hampir pengsan baginda di bawah pohon jering.