Sabtu, 10 Disember 2011

Masak-Masak Bubur... Bahagian 2

Tadi malam entah apa-apa yang saya rasiankan. Tmbul tenggelam wajah kabur seorang puteri (meski kabur-tetap indah wajahnya, kerana baginda seorang puteri) yang bermain sembunyi-sembunyi, tentang seorang lelaki berjubah dan berjanggut. Saya yang bangkit dari tidur hanya dapat mengingat sedikit sahaja bahagian dari mimpi tersebut. Sayang sekali saya tidak menulis sesuatu apabila terjaga.

Hari keesokannya adalah hari yang amat memenatkan, tetapi juga mengujakan. Tumpuan sepenuh hari ditumpahkan pada aktiviti memasak bubur as syura di perkarangan Kolej Ungku Omar. Amat seronok mesti saya dibatasi waktu yang cemburu untuk lebih lama di sana.

Sekretariat Kerohanian dan Kelab Iqra' sama-sama berpadu tenaga. Tiga kawah bubur berjaya dimasak. meski pada peringkat awal, terdapat satu kawah yang hangit dan terpaksa dibuang (kaum lelaki leka berborak)

Sambil mengacau bubur, Hafiz Saidin sempat berbual mengenai Hari Asyura. Tak perlulah saya perikan semua butir-butirnya. Sungguh dia seorang yang banyak membaca. Tentang bagaimana Nabi Nuh diselamatkan, bagaimana Tuhan menciptakan Alam, bagaimana peristiwa Karbala berlaku. Oh, kalau orang Minang (ayah saya orang Minang), menyebutnya sebagai hari Tabui kalau tidak silap.



Malamnya diisi dengan program ceramah, yang disampaikan oleh sahabat saya juga, Khalil Razak, amat memukau sekali isinya. Sungguh....tidak ada jalan mencari ketenangan, kecuali dengan mengingati Tuhan.

Isnin, 28 November 2011

Bubur As-Syura, Karbala, dan ... (bunyinya Dot, dot, dot) -Bahagian 1-

Maka Tuan Puteri Lindungan Mentari 10 itupun sangguplah mencemar debu dek kerana hidung pesek baginda tercium akan wanginya bubur lambuk yang mengapung di setiap penjuru alam. Langsunglah lupa dalam benak akan enak ais krim dan coklat yang datangnya dari dunia barat. Cekatan disarungkan kasut tumit tinggi, meski Tuan Puteri Lindungan Mentari 10 itu orangnya rendang-rendang pohon bonzai sahaja. Hendak digebang biar panjang, hendak ditambah takut bidaah, maka terpaksalah diperikan bunyi kasut tumit tinggi itu seakan-akan 'kelepak-kelepuk, kelepak-kelepuk' bunyinya berulang kali. Kalau diikutkan kasad baginda, hendak sahaja jiwa kacau yang kebelaian itu menjerba terus kearah Imam Ali yang sedang membaca doa perasmian.

Meski Tuan Puteri Lindungan Mentari 10 itu bersenbunyi di balik pohon jering, akan tetapi bunyi kelepak-kelepuk yang melayut itu sudah cukup memantulkan satu tanda akan hadirnya baginda. Ditambah pula kononya Imam Ali itu selalu bersyaikh diri, punyai ilmu Khasyaf, dan Ilmu Khayal Lillah Lagi Tamam 12 Alam.  Tiada apa bena kehadiran Tuan Puteri Lindungan Mentari 10 itu pada pandangan Imam Ali.

Hatta Imam Ali yang berkulit putih awan itu pun mengambillah kain badar sila, sambil dimata-matai Tuan Puteri Lindungan 10.
"Ahh...tak terlawan kain antalas kita. Lagipun yang menggunakan kain-kain inikan kita-kita aja." Pekis baginda dalam lompongan kersik nafsu. Sungguh saat itu sudah hilanglah lawamah baginda, terus terbang datang amarah, jauh sekali bertemu mutmainnah.

Ingin baginda datang karib tapi takut datang kerama. Diperhalusi sahajalah dari balik pokok jering tersebut, dikecilkan mata yang sudah sedia sepet itu. Dilihat oleh baginda satu kawah bubur lambuk sudah usai dimasak.
Manis senyum Imam Muda itu...ahh, memandang wajahmu yang dari jauh ini sahaja, cukup membuat lidah terkelu menampung seribu rasa rindu. (Begitu agaknya bisik hati kecil baginda)

Cekatan Tuan Puteri Lindungan Mentari sepuluh mengeluarkan buku nota,
Sungguh pandangan baginda sudah tertambat. Satu persatu langkah diperhalusi.

Imam Ali memulakan gerak, dipanaskannya minyak, kemudian ditumisnya kulit kayu manis, bunga pelaga dan bunga lawang. Disatukan bersama bawang, bawang putih, dan halia yang sudah siap dikisar. Sungguh mengapung baunya, hampir terbersin baginda yang punya sakit resdung itu.

Lemah gemalai tingkah Imam Ali itu, bak lembutnya penari kebudayaan.
Imam Ali pun memasukkan rempah kurma, dikacau-kacau sampai warnanya jadi kelabu-kelabu, andai kering dicampurnya sedikit air, dikacau lagi sampai naik minyak.

Dimasukkan pula hirisan daging bersama beras dan air. Dibiarkan merenih sehingga daging dan beras masak.
Sesudah masaknya bubur, dimasukkan santan, sedikit garam dan gula menambah perisa. Pantang Imam Ali menggunakan Ajinomoto. Bubur daging yang sudah siap itu menerbitkan aroma yang tidak dapat diterjemah kata, diperikan bicara. Dihiasi pula dengan bawang goreng dan daun ketumbar...ahh..terkecur liurlah Tuan Puteri Lindungan Mentari 10 itu, hampir pengsan baginda di bawah pohon jering.

Selasa, 22 November 2011

Tip Memilih Bahan Makanan Secara Selamat

1) Ayam
  • Lihat pada kegemukan di dada dan kelicinan kulitnya
  • Tidak berbau busuk dan bertukar warna
2) Makanan Laut
  • Kulit yang bersinar dan berwarna terang dan tidak diselaputi oleh lendir yang tebal
  • Cerah dan matanya tidak tenggelam
  • Insang berwarna merah cerah (bukan perang atau kering)
  • Isi yang kenyal
  • Udang tidak rosak, kulitnya lutsinar tanpa tompok hitam
3) Makanan di dalam Tin
  • Tin tidak kemek, kembung atau berkarat,
  • Tudungnya tidak kembung
  • Jentik tin beberapa kali, pastikan tidak ada bunyi susulan dari dalam tin
4) Pilih Tempat Makan Yang Bersih
  • Tidak terlalu hampir dengan jalan raya
  • Jauh dari tempat ternakan haiwan
  • Ada keperluan asas yang bersih seperti air untuk membasuh
  • Bebas dari haiwan seperti kucing, anjing, burung, tikus, dan serangga 
5) Makanan yang dibungkus
  • Pastikan pembungkus tidak bocor atas basah
  • Pastikan makanan tidak dibungkus menggunakan bahan bercetak seperti kertas surat khabar atau kertas majalah hiburan
6) Pilih makanan yang dimasak dengan sempurna
  • Daging yang dimasak dengan sempurna mempunyai warna perang di dalamnya
  • Ayam yang telah dimasak mempunyai jus di dalamnya dan tidak berwarna merah cambu apabila dicucuk dengan garfu
  • Telur kuning dan putih tidak jernih atau lutsinar

Nota kaki : Diambil dan diubahsuai daripada
                  Tip Memilih Makanan, Berita Harian, 15 November 2011 

Isnin, 10 Oktober 2011

E.K.S.P.E.R.I.M.E.N

APABILA KESEMUA PELAJAR MELAKUKAN EKSPERIMEN DALAM KARYA, DAN AKU TIDAK MELAKUKAN APA-APA, MAKA SIAPAKAH YANG SEBENARNYA BEREKSPERIMEN ?
PERHATIKAN GAMBAR INI SEDALAM-DALAMNYA
APAKAH YANG ANDA LIHAT ?

Assalaamualaikum w.b.t,
Sebetulnya, saat entri ini ditulis, saya masih lagi terumbang-ambing mencari ilham, ketandusan falsafah yang sengaja datang... kemudian menghilang.

Saya kematian langkah dan punca....
Kemudian perlahan-lahan kata-kata baba mengusap lembut cepu fikir, menenangkan.
Kata Baba... ilham itu bukanlah apa yang kau lihat, tetapi apa yang engkau rasakan. Seperti gambar diatas.... kamu tmelihat, akan tetapi untuk membaca entri ini, kamu harus tahu, bahawa ada sesuatu yang ingin kamu lihat...dan kamu pasti kamu akan melihatnya...

Jumaat, 30 September 2011

Di hadapanku ada Hallaj

(...lalu ke mana hilangnya daun kering yang berguguran...)


Kuhadapkan wajahku dan wajahmu dihadapan wajah-Nya yang satu,
Lalu wajah siapa yang bakal tenggelam terbit?
Tatkala kita bercermin dengan cahaya
Kau mengetuk warasku dengan isengmu yang bergalau dan
Membuncah bersama,
Debu-debu setelah matimu lama dulu...
Lama dulu....

Seperti harumnya wajah bulan,
Cahaya yang sesempit akal kata,
Kian menghimpit luka lama,

Hembuskan layar makrifatmu terbang mencari hakikat,
Kita membelah bulan malam dengan gelitanya yang pekat,
Dipenjara dalam mimpi hingga mati sembilan sanad,
Namun kita yang tertawa kerna malam semakin tenat.

(Malam semakin tenat....dan malam pun semakin tenat....)

Rabu, 28 September 2011

Jom Makan....Errr....50% Halal?


Salaam bersalam...

Sebelum saya bermadah kata, rasanya eloklah saudara saudari sekalian mengamati akan gambar di atas terlebih dahulu.

     Saya kira setahun yang lalu, saya menyertai satu ceramah mengenai pemakanan yang sihat, bukan sahaja dari sudut saintifik, bahkan juga memenuhi aspek agama. Saya begitu asyik dan tekun mendengar, perihal tulang temulang khinzir yang dicampur gaul dalam makanan, tentang uri ungka menjadi perisa yang menyedapkan, tentang bagaimana pengusaha-pengusaha kedai makan yang dimiliki oleh orang bukan Islam, berselindung dibalik pekerja Islam.

     Apabila saya menulis sesuatu, saya lebih gemar menulis dengan tujuan utama, menyedarkan pembaca. Saya kira ini salah satu kaedah berdakwah. Berbanding sekiranya saya meletakkan gambar makanan-makanan yang tidak akan habis senarainya, atau menulis bagaimana caranya memasak lauk asam pedas yang lazat rasanya (saya orang Melaka), saya kira jika itulah yang disebut sebagai falsafah di dalam pemakanan, saya tidak rela menulis blog ini.

     Kadang-kadang, kita sebagai manusia selalu terlepas pandang, saya juga begitu. Membeli makanan tanpa menyemak bahan yang terdapat di dalamnya. Baru-baru ini kita digemparkan dengan berita penemuan bahan haram yang dicampurkan ke dalam biskut berjenama. Saya tidak mahu mengulas begitu panjang di sini. Cuma, lakukanlah sesuatu mengikut apa yang kita mampu. Saya masih percaya dengan status halal yang dikeluarkan oleh jakim.

     Apa yang penting ialah kesedaran dalam diri kita sendiri.      

                 Gambar diatas adalah iklan mee segera berperisa babi (entah apa rasanya), dan yang lebih 'seronok' adalah, ianya 50 % halal....halal pun ada peratus...dahsyat..