Manuskrip Melayu merupakan salah satu hasil seni dan
bukti keunggulan daya cipta masyarakat Melayu tradisional pada zaman dahulu.
Manuskrip Melayu ditakrifkan sebagai karya-karya yang ditulis tangan,
menggunakan tulisan jawi, serta dihasilkan pada akhir abad ke-15 hinggalah awal
abad ke-20 (sebelum wujudnya mesin cetak di Pulau Pinang pada 1806). Sebelum
wujudnya sistem tulisan, masyarakat Melayu tradisional terlebih dahulu hanya
menggunakan tradisi lisan bagi mengembangkan sesebuah cerita ataupun pemikiran
mereka. Namun demikian, tradisi lisan ini dilihat tidak berupaya menjadi satu
warisan yang hadir dalam bentuk yang nyata, sebaliknya sekadar menjadi little
tradition.
Setelah
masyarakat tradisional keluar daripada kepompong primitif tersebut, perbincangan
mengenai pemikiran, akal budi, dan wacana masyarakat Melayu kemudiannya
meningkat menjadi great tradition yang berkisar mengenai persoalan
sejarah, agama, ketatanegaraan, serta perubatan, yang lebih tersusun dan kemas.
Apatah lagi apabila tibanya gelombang penyebaran Islam yang dibawa oleh
kumpulan pedagang dari Tanah Arab, Parsi dan India, tulisan Pallava atau Kawi
kemudiannya semakin ditinggalkan, dan digantikan dengan tulisan jawi. Naskhah-naskhah
lama yang ditulis menggunakan tulisan jawi inilah yang disebut sebagai
manuskrip Melayu.
Pada
awalnya, manuskrip ditulis di atas kepingan batu dengan menggunakan pahat.
Terdapat juga manuskrip awal yang ditulis pada lumpur-lumpur yang telah
dikeringkan. Disebabkan terdapatnya kesukaran dalam penulisan, masyarakat
Melayu dengan akal cipta dan kepintarannya, telah menghasilkan satu alternatif
lain iaitu kertas yang diperbuat daripada kulit kayu, kulit binatang, daun
lontar, kepingan buluh, dan papan. Setiap satu hamparan tersebut ditulis
mengikut cara atau kaedah yang tersendiri. Disebabkan ruang tulisan yang
terhad, maka isi tulisan hanyalah berkisar mengenai perkara-perkara yang
penting sahaja seperti jurai keturunan dan salasilah keluarga, adat istiadat
raja, serta pantang larang kehidupan. Terdapat tiga jenis kalam yang
digunapakai oleh masyarakat tradisional dalam penghasilan manuskrip iaitu kalam
resam, kalam kabung, serta kalam dari bulu binatang. Kepintaran masyarakat
tradisional juga terbukti apabila berupaya menghasilkan dakwat yang
bersumberkan alam. Bagi menghasilkan dakwat berwarna hitam, jelaga damar akan
dicampurkan dengan madu dan getah. Pokok lembayang pula digunakan bagi mendapatkan
dakwat berwarna ungu, kulit buah manggis bagi mendapatkan warna coklat, kesumba
bagi mendapatkan warna merah, campuran kunyit dan kapur yang diperam akan
menghasilkan warna kuning, jus daripada daun tarum bagi mendapatkan warna biru,
serta larutan putik kelapa bagi mendapatkan warna hijau.
Terdapat pelbagai fungsi dan sebab terhasilnya
sesebuah naskhah manuskrip. Seandainya diteliti secara mendalam, sistem
keilmuan dan tulisan pada awalnya tertumpu pada institusi beraja dan bangsawan
sahaja, sebelum ianya tersebar golongan rakyat biasa. Istana telah memainkan
peranan yang penting sebagai pusat ilmu serta tempat berkumpulnya para
cendekiawan yang mahir dalam bidang karang mengarang. Salah satu sebab
manuskrip ditulis adalah atas perintah raja dalam sesebuah kerajaan itu
sendiri. Antara isi yang selalu dikaitkan dengan naskhah istana termasuklah
sejarah kehebatan sesebuah kerajaan, asal-usul keturunan raja, serta
peraturan-peraturan dalam sesebuah negara. Maka, wujudlah tulisan-tulisan
seperti Sejarah Melayu yang mengisahkan tentang sejarah kerajaan Melaka,
Hikayat Pasai mengenai sejarah Pasai, Bustan Al- Salatin
sebagai karya ketatanegaraan, serta Undang-undang Laut Melaka iaitu
karya mengenai peraturan di laut. Bagi naskhah-naskhah yang berlegar dalam
kelompok masyarakat biasa, manuskrip memainkan peranan sebagai alat hiburan,
dan hanya dikeluarkan pada waktu-waktu tertentu sahaja untuk dibaca.
Terdapat
pelbagai genre atau jenis manuskrip, bergantung kepada isi atau persoalan yang
terdapat dalam naskhah tersebut. Selain persoalan sejarah yang mengangkat dan
mengagungkan kerabat diraja, terdapat juga intipati lain yang diutarakan dalam
manuskrip-manuskrip Melayu termasuklah karya hikayat yang bersifat hiburan.
Karya hikayat ini adalah mengenai kisah pengembaraan putera puteri yang
memiliki paras rupa yang cantik, serta sentiasa menang dalam segala kesulitan
dan peperangan. Kitab agama pula merupakan himpunan ilmu mengenai syariat
Islam, yang kebanyakannya ditulis serta disadur daripada karya-karya luar
seperti dari Parsi dan Timur Tengah. Golongan ulama’ memainkan peranan yang
sangat penting bagi memastikan syiar Islam berkembang dalam bentuk tulisan.
Kitab petua dan azimat pula memandu masyarakat bagi mendapatkan petua tertentu
yang memudahkan kehidupan seharian, manakala kitab tib pula merujuk kepada
kitab perubatan Melayu yang menggunakan alam flora dan fauna sebagai bahan
perubatan.
Sesebuah
kerajaan yang kuat pada akhirnya tetap akan mengalami zaman kejatuhan. Antara
punca kejatuhan sesebuah kerajaan itu adalah disebabkan sistem pemerintahannya
yang lemah, berlakunya pemberontakan dalaman, serta serangan daripada pihak
musuh dari luar. Nasib manuskrip sebagai naskhah intelektual Melayu sedikit
sebanyak bergantung kepada nasib sesebuah kerajaan itu sendiri. Apabila
berlakunya peperangan di antara dua buah kuasa besar, maka institusi istana
menjadi sasaran awal untuk dimusnahkan. Maka segala khazanah penulisan yang
dikumpulkan di istana pada akhirnya turut sama musnah, sama ada dibawa pulang
sebagai rampasan, ataupun dibakar bersama istana. Kedatangan kuasa Barat
sebagai penjajah, membuka satu lagi lembaran hitam mengenai ‘kepupusan’
manuskrip Melayu. Naskhah-naskhah Melayu lama telah menjadi senjata yang paling
berkesan bagi pihak penjajah mendalami pemikiran, kekuatan, sekaligus kelemahan
masyarakat Melayu sebelum memulakan penjajahan. Pada awalnya, pedagang Barat
serta bangsawan Eropah memperolehi manuskrip melalui hadiah daripada sultan.
Mereka kemudiannya menyedari betapa penting dan berkuasanya naskhah-naskhah
tersebut bagi melentur kelemahan masyarakat Melayu itu sendiri yang tidak
menghargai karya tempatan. Maka, mereka kemudiannya membawa pulang ribuan
naskhah sebagai ‘tawanan’ peperangan yang sangat tinggi nilai harganya. Stamford
Raffles sebagai contoh, telah berjaya mengumpulkan satu koleksi manuskrip yang
kemudiannya dibawa pula ke Eropah dengan menggunakan kapal The Fame pada tahun
1823. Naskhah-naskhah tersebut pada hari ini menerima nasibnya yang sangat
malang, iaitu nilai lokaliti masyarakat Melayu yang terpenjara di muzium-muzium
benua Eropah. Pengkaji-pengkaji Melayu juga terpaksa menjadikan Eropah sebagai
‘transit’ kajian mengenai manuskrip Melayu, meskipun mereka (Barat) langsung
tidak mempunyai kaitan mengenai wacana yang terdapat di dalam naskhah.
Dianggarkan terdapat sekitar 3000 buah naskhah manuskrip Melayu di Eropah, yang
disimpan di pelbagai penjuru di benua tersebut.
Namun
demikian, masyarakat Melayu pada hari ini harus melihat peristiwa tersebut
sebagai salah satu ‘rahmat’ yang membuka mata masyarakat tempatan mengenai
penting dan berharganya manuskrip Melayu. Pelbagai interpretasi boleh dilihat
melalui peristiwa sejarah yang berharga dalam setiap fasal dan period yang
dialui oleh sesebuah naskhah Melayu tradisional. Pengkaji-pengkaji pada
akhirnya mula menyedari hakikat tersebut, dan memulakan gerakan menggali semula
ketamadunan dan keunggulan akal budi masyarakat Melayu suatu ketika dahulu,
yang dipancarkan melaui tulisan-tulisan jawi, yang disebut sebagai Manuskrip
Melayu.
terima kasih atas perkongsian,minta izin guna utk siapkan tugasan ye
BalasPadamhi, saya sedang membuat kajian mengenai dakwat yg digunakan dalam manuskrip melayu..if anda ada any rujukan yg boleh membantu bolehlah hubungi saya pada email ini amirahazer94@gmail.com.thank you
BalasPadam