Ini cerita anak-anak. Kerna molek sekali
anak-anak saat mahu beradu itu didendangkan dengan kisah yang penuh hikmah buat
bekal nanti berkunjung ke daerah mimpi. Entah sakit pinggang atau sakit lutut tiadalah
kita pasti kerna orang tua hari ini berlagu entah apa-apa sambil memeri cerita
tentang patung kayu yang hidungnya konon boleh memanjang sedepa apakala berkata
penuh dusta. Sungguh itu datangnya dari barat dunia yang mana isinya tiada lain
tiada bukan buat menyesat kerabat. Bimbang sekali kita tatkala besar nanti,
saat ketemu teman sepermainan di sekolah yang mana hidungnya mancung meninggi,
atau terserempak anak-anak warga Nepal di perkampungan setinggan hadhari,
langsung dijerit dengan panggilan Pinochio. Ishh, jadi malu nenek moyang nanti.
Inilah mahu kita babadkan sebuah kisah tentang kasturi. Adapun kasturi itu
bukanlah yang bertikam mengamuk segala dengan Hang Tuah, akan tetapi kasturi
ini tuan-tuan menjadi ia jebat-jebatan, pengubat rasa resah, penghidup hati
gundah, kerna wangi-wangian itu tiada lain menjadi ia santapan roh juga buat
manusia. Nanti tiadalah dikatakan tolol andai anak-anak kita bertanya dari mana
asalnya kasturi. Tiada perlulah kita mereka-reka cerita kononnya kasturi adalah
ia sejenis tumbuhan yang ditarik dari alam kayangan setelah seorang anak muda
yang berhingus tiada kering, memanjat pohon kacang yang tinggi langit menjulang.
Ini kisah anak-anak, mahu kita kongsikan
buat bapak-bapak jua. Andai ada silap salah kita menggulung lidah, mohon kita
berlindung tiada lain kepada Allah sahajalah agar tiada kita mendapat dosa
sejelepuk percuma. Terus kita sembahkan sebuah hikayat tentang kijang berekor
kasturi, moga-moga dengannya nanti peroleh kita pahala mencurah, dapat kita ke
syurga bertemu para nabi.
Adapun suatu masa dahulu tuan-tuan,
terdapatlah sebuah lembah kering kontang, dek kerana tiada hujan sudi
menyimbah. Panasnya akan tanah lembah itu hinggakan gagak yang menapak tiada
mampu kembali mengepak. Nah disebelah lembah tersebut adalah sebuah negeri yang
besar sekali. Hendak diperikan sebesarmana negeri itu tiadalah kita mampu kerna
lidah kita ini masing-masing tiadalah sebesar manapun. Cuma yang mampu dikerja
dek lidah ini hanya membesar-besar sahajalah. Oleh asbab itu jua ramai sekali
akan hamba gemar membesar diri yang hina berbanding membesar Allah yang esa.
Ini lagi kita menambah, meski negeri itu
agam lagi indah, sedih sekali kerna rakyatnya miskin-miskin, botak-botak kepala
semuanya. Nun di belah hujung hiduplah seekor kambing putih menyendiri,
beruzlah dia tiada mahu menambah dosa membotak-botak kepala dengan alasan
kononnya mualaf itu segala salah tiada menjadi punah. Jua tiada mahu dia membuka
baju menunjuk pekung di serata dada berjahit huruf ‘S’ yang maksudnya entah
apa. Entah ‘S’ itu Syaitan barangkali, na’udzubillah.
Adapun kambing
ini ronanya tiada lain, warnanya putih gebu lebih putih dari susu yang putih
memutih. Digelar oleh segala rakyat akan kambing putih ini dengan nama Aswad
sahaja. Dek kerana melaratnya rakyat, langsung timbul nekad dalam hati nurani
Aswad, mahu ia menjadi pengembala kambing biri-biri.
Maka pada suatu hari yang panas, sedang Si
Aswad mengembala di padang yang luas, jauh-jauh dilihat kelibat seorang
perempuan berjalan kearahnya malas-malas. Setelah lama memerhati dalam-dalam,
ketahuilah oleh Aswad bahawasanya dia itu didatangi oleh Tuan Puteri Shahrizad
seorang diri tiada ditandu diiring segala orang istana.
Duduk Tuan Puteri Shahrizad pada seketul
batu besar, sambil tangan memegang kepala, kononnya sudah pusing dek panahan
cahaya panas tajam meruncing. Apakala melihat kelakuan dibuat-buat itu lantas
melimpas dalam jiwa kecil Aswad akan kata-kata tiada mulia. Terdetik dalam
hatinya itu;
‘Ada aku kisah!’
Namun terus sahaja dia beristighfar
memohon ampun kepada Tuhan kerana salahnya dia mengungkap kata, meski tiada
yang mendengar di dalam dada. Dihampirinya
akan Tuan Puteri Shahrizad itu mengangkat sembah. Dek melihatkan perbuatannya
gedik-gedik itu mendapat perhatian, meluap-luap gembira dalam hati Tuan Puteri
itu.
“Ampun tuanku, apa gerangan tuanku
bermuram durja. Apa cutikah badut-badut di istana?”
Terasa diri bagai dicucuk-cucuk dengan
lidi.
“Ish, Maharaja Badut beta cuti. Lagi pula
lawaknya entah apa-apa, naik geli beta melihat badut Nepal terkangkang-kangkang
sengaja memakai seluar rabak berlubang. Bukan beta tiada bayar gaji buat
membeli kain yang baru.”
“Habis, tuanku melihat aurat lah
gamaknya?”
Langsung terkulat-kulat Tuan Puteri
Shahrizad menahan malu.
“Nanti dituduh pula beta kufur nikmat. Ah,
tiada gunanya beta berbasi-basi lagi. Adapun tujuan utama hadir beta ke padang
kamu ini Aswad, ingin sekali mendengar cerita kamu. Cerita kamu yang dulu-dulu
itu gemar sekali baginda sultan mendengar sebelum beradu. Sampai habis semuanya
diperi langsung terlupa hadir kemari.”
Itulah tuan-tuan sekalian, sungguh manusia
itu mudah lupa. Dahulu saat sukar sebelum kaya selalu niatnya mahu menderma,
manusia mudah lupa. Dahulu saat sebelum menunai haji selalu berniat melitup
kepala, manusia mudah lupa.
Termangulah Tuan Puteri Shahrizad itu
sambil melayang pandang kearah luas padang, langsung bermadah tiada kena
bunyinya;
‘Indah mata memandang, indah lagi bahu
memikul.’
Tiada dapat ditahan dalam dada Aswad saat
itu mahu membantu apa yang daya. Sudah dididik dia sedari kecil muhabat akan
kedamaian. Tiada mahu berkesumat. Perlahan dilabuh punggung nan putih disebelah
Tuan Puteri yang masygul menyendiri.
“Marilah tuanku kita peri sesuatu. Kasad kita
tiada lain mahu langit terus mendatar, tiada rebah menyembah bumi. Akan tetapi
yang mahu digebang ini bukan sebarang kisah, tuanku. Adapun kisahnya itu
janganlah dilayangkan pada yang lain, kerna kisah sebegini untuk kita-kita aja,
tuanku.”
Terus Tuan Puteri Shahrizad bangkit,
menari terkinja-kinja seperti ungka tiada sedar diri buat seketika. Sudah puas
dan datang semput barulah dia menadah tangan ke muka langit menyebut
alhamdulillah...alhamdulillah, beberapa kali.
Menggeleng-geleng
kepala Aswad hampir sahaja mahu terteleng. Sungguh perangai Tuan Puteri tiada
senonoh. Pendek kata, panjang bicara, boleh sahaja dianggap Tuan Puteri ini
menghidap penyakit cacat akal yang kekal dek tabiat yang suka main
sandar-sandar. Suara pula kecil macam anak-anak belum tahu belajar.
“Tuanku, ini mahu kita ingatkan kisah ini
kisah kaum kita. Namun janganlah dipandang hina akan binatang kerna binatang
itu boleh jadi lebih mulia daripada manusia.”
Angguk-angguk Tuan Puteri, entah faham
entah tidak.
“Suatu zaman dahalu, lama dahulu, moyang
tuanku pun masih belum dilahirkan saat itu. Di dalam rimba nan luas menebal,
hidup rukun berbilang bangsa binatang. Maka telah datanglah ketentuan Tuhan,
melantik Nabi Sulaiman a.s, sebagai rasul menyampai kebenaran. Besar sekalilah
kerajaan baginda itu. Bertebaran berita tersebut sampai kepada segenap lapis
hidupan, baik bangsa manusia, baik bangsa jin, juga bangsa haiwan. Sungguh Nabi
Sulaiman a.s itu diberikan keistimewaan oleh Allah s.w.t, dapat baginda
berbicara dengan haiwan, dapat jua baginda mengarah kaum jin yang sukar
dijinakkan.
Seusai berita diterima, beratur
berbarislah bangsa haiwan berkumpul mahu menuju ke istana Nabi Sulaiman a.s,
dengan satu niat, menyatakan bai’at, jua menyembah rasa syukur diiring ucapan
gembira di hati.
Adapun tuanku, adalah bangsa kijang dan
bangsa kera itu tiada awal mahu menuju ke istana. Terasa di dalam hati bahawa
diri sebagai kijang itu tiadalah sebaik mana mahu berhadapan dengan baginda.
Sugullah di hati kaum kijang itu, lama sekali memendam hajat dan hasrat mahu ke
istana tetapi ditahan.
Sungguh tuanku, hati itu dinamakan hati
oleh Tuhan kerna sifatnya yang berbalik-balik. Ditiupkan oleh Allah kepada
hati, terus berubah bangsa kijang sekalian itu mahu menuju ke istana tiada
semena-mena. Dalam perjalanan menempuh segala tabal hutan, tiada lain hanyalah
mengharapkan agar kedatangan bangsa mereka itu nanti disambut baik oleh baginda
Nabi Sulaiman.
Seharian berjalan, peluhnya bukan sedikit,
puas mendaki cangkat dan bukit. Tiba jualah di istana Nabi Sulaiman.”
Bersambung...
Bersambung...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan