Maka Tuan Puteri Lindungan Mentari 10 itupun sangguplah mencemar debu dek kerana hidung pesek baginda tercium akan wanginya bubur lambuk yang mengapung di setiap penjuru alam. Langsunglah lupa dalam benak akan enak ais krim dan coklat yang datangnya dari dunia barat. Cekatan disarungkan kasut tumit tinggi, meski Tuan Puteri Lindungan Mentari 10 itu orangnya rendang-rendang pohon bonzai sahaja. Hendak digebang biar panjang, hendak ditambah takut bidaah, maka terpaksalah diperikan bunyi kasut tumit tinggi itu seakan-akan 'kelepak-kelepuk, kelepak-kelepuk' bunyinya berulang kali. Kalau diikutkan kasad baginda, hendak sahaja jiwa kacau yang kebelaian itu menjerba terus kearah Imam Ali yang sedang membaca doa perasmian.
Meski Tuan Puteri Lindungan Mentari 10 itu bersenbunyi di balik pohon jering, akan tetapi bunyi kelepak-kelepuk yang melayut itu sudah cukup memantulkan satu tanda akan hadirnya baginda. Ditambah pula kononya Imam Ali itu selalu bersyaikh diri, punyai ilmu Khasyaf, dan Ilmu Khayal Lillah Lagi Tamam 12 Alam. Tiada apa bena kehadiran Tuan Puteri Lindungan Mentari 10 itu pada pandangan Imam Ali.
Hatta Imam Ali yang berkulit putih awan itu pun mengambillah kain badar sila, sambil dimata-matai Tuan Puteri Lindungan 10.
"Ahh...tak terlawan kain antalas kita. Lagipun yang menggunakan kain-kain inikan kita-kita aja." Pekis baginda dalam lompongan kersik nafsu. Sungguh saat itu sudah hilanglah lawamah baginda, terus terbang datang amarah, jauh sekali bertemu mutmainnah.
Ingin baginda datang karib tapi takut datang kerama. Diperhalusi sahajalah dari balik pokok jering tersebut, dikecilkan mata yang sudah sedia sepet itu. Dilihat oleh baginda satu kawah bubur lambuk sudah usai dimasak.
Manis senyum Imam Muda itu...ahh, memandang wajahmu yang dari jauh ini sahaja, cukup membuat lidah terkelu menampung seribu rasa rindu. (Begitu agaknya bisik hati kecil baginda)
Cekatan Tuan Puteri Lindungan Mentari sepuluh mengeluarkan buku nota,
Sungguh pandangan baginda sudah tertambat. Satu persatu langkah diperhalusi.
Imam Ali memulakan gerak, dipanaskannya minyak, kemudian ditumisnya kulit kayu manis, bunga pelaga dan bunga lawang. Disatukan bersama bawang, bawang putih, dan halia yang sudah siap dikisar. Sungguh mengapung baunya, hampir terbersin baginda yang punya sakit resdung itu.
Lemah gemalai tingkah Imam Ali itu, bak lembutnya penari kebudayaan.
Imam Ali pun memasukkan rempah kurma, dikacau-kacau sampai warnanya jadi kelabu-kelabu, andai kering dicampurnya sedikit air, dikacau lagi sampai naik minyak.
Dimasukkan pula hirisan daging bersama beras dan air. Dibiarkan merenih sehingga daging dan beras masak.
Sesudah masaknya bubur, dimasukkan santan, sedikit garam dan gula menambah perisa. Pantang Imam Ali menggunakan Ajinomoto. Bubur daging yang sudah siap itu menerbitkan aroma yang tidak dapat diterjemah kata, diperikan bicara. Dihiasi pula dengan bawang goreng dan daun ketumbar...ahh..terkecur liurlah Tuan Puteri Lindungan Mentari 10 itu, hampir pengsan baginda di bawah pohon jering.
menarik ....mesti sedap n ..:)
BalasPadam