Tuan Puteri Shahrizad itu kerjanya
angguk-angguk sedari tadi. Mahu sahaja ditempeleng dek Aswad, namun bimbang
pula nanti bertambah jadinya cacat. Itulah tuan-tuan, hendak kita peringatkan,
jangan sesekali makan sambil bercakap, atau tidur tertunggeng tiada adab,
kononnya itu amalan ahli fikir. Dusta semata itu semua. Kerna yang namanya ahli
fikir itu tuan-tuan tiada ia angguk-angguk geleng-geleng terkinja dengan leher
dikalung rantai entah apa, bagai bangsa kera zaman baru yang kerjanya memanjat
kelapa. Bimbang terus nanti andai tuan-tuan ditimpa akan penyakit wahan sebegini
rupa.
“Sungguh Nabi Sulaiman itu seorang nabi
yang penuh tinggi budi pekerti. Dilayan sehabis baiklah akan bangsa kijang
tersebut, bertambah suka di hati baginda menerima tetamu sedemikian rupa. Baada
membai’at baginda, maka pulanglah bangsa kijang itu kedalam hutan sambil
masing-masing menyebut alhamdulillah...alhamdulillah, sebanyak-banyaknya tanda
syukur kepada Allah. Tiada bangsa kijang itu menyanyi lagu ‘Kijang Boleh’, yang
dilafazkan hanya puji-pujian pada Tuhan Yang Esa.
Wahai tuanku, ‘sirr’ Allah itu tiadalah
dapat diduga oleh sesiapa, begitu andai kasad di hati itu mulia, akan dibalas
dengan yang muluk-muluk jua. Dalam perjalanan pulang ke hutan semula, terbitlah
suatu bau amat harum merdu, narawastu belum pernah diketemu. Berpecahlah bangsa kijang mencari punca akan
wangian tersebut namun tiada beroleh apa. Lelah mencari, entah bagaimana
tersentuh jari seekor kijang kepada ekor sahabatnya yang lain. Dihidu-hidunya
dalam-dalam, hingga bertelut dia sujud syukur kehadrat Allah, kerna
dianugerahkan oleh Tuhan bauan yang semerbak pada ekor masing-masing.
Adapun tuanku puteri, hendak ditambah
rencah cerita, disebut oleh para ulama’ akan perihal kasturi ini iaitu,
wanginya kasturi itu kekalnya ia tiada hilang meski disentuh dek empat puluh
orang secara berantai. Masih kekal baunya kasturi itu. Subhanallah.
Gempar dan pecahlah rimba dek mendengar
berita perihal kasturi, masing-masing mengucap tahniah pada bangsa kijang yang
dulu kononnya lemah.”
Tuan
Puteri Shahrizad sudah berhenti angguk-angguk, tersenyum simpul sambil
berkelip-kelip mata menyebut ‘sesaat mendengar cerita kamu, ana jadi malu lulu
lulu.’
Menggeleng-geleng jualah si Aswad. Sungguh
menggedik watak baru Tuan Puteri ini. Sengaja baginda mencabut bunga matahari
yang disisip di telinga, dihidu dalam-dalam mencari kasturi barangkali. Sedar
bahawa perilakunya diperhati, lantas Tuan Puteri berhenti menghidu dan
pura-pura khusyuk kembali.
“Kita enjoy.”
Laung Tuan Puteri Shahrizad tersenyum manis.
“Maka berita akan hal kasturi itu dapatlah
dihidu oleh bangsa kera. Cekatan ketua bangsa kera ini menghimpun akan anak-anak
buahnya mahu segera ke istana dengan satu tujuan, satu matlamat, mahu akan
kasturi juga. Berdiri ketua bangsa kera diatas busut tinggi, berucap penuh berani.
“Dengar sini wahai bangsaku, niatkan di
hati masing-masing. Tiada mahu kita berekor wangi seperti kaum kijang. Kita
mahu lebih daripada itu. Kita mahu lebih. Kita mahu biar punggung kita berbau
wangi.” Bersoraklah bangsa kera bersemangat menggila lupa Tuhan lupa dunia.
Tiba di istana Nabi Sulaiman, maka
berbai’atlah bangsa kera ini pada Nabi Sulaiman. Sungguh mulianya baginda,
dilayan bangsa kera itu sama sahaja dengan bangsa kijang dahulunya. Tiada pilih
kasih, tiada mentor mentee kerna semua itu bakal merosak sahaja nanti.
Gembiralah dihati bangsa kera tiada
kepalang lagi. Dalam cepu fikir masing-masing membayangkan bagaimana gamaknya
andai punggung mereka masing-masing itu berbau kasturi semerbak mewangi. Tentu
najis mereka juga turut wangi sama, boleh dijual sebagai minyak wangi, meski
kandungannya haram najis kera, tentu ramai sekali yang membeli dengan syarat,
iklannya haruslah ada seorang adam, dengan wajahnya harus memancar nur kasih.
Berjalanlah
ketua bangsa kera di hadapan barisan penuh megah gagah menunggu masa menghidu
bau harum. Nah, telah kita khabarkan tadi prihal hati yang mana sifatnya itu
amatlah ajaib, maka timbullah sifat kurang sabar dalam dada naib ketua bangsa
kera. Menggumam dia perlahan menyebut-nyebut akan kasturi, tiada tertahan lagi.
Dadanya
berdebur kencang, bagai kencangnya angin ribut meragut segala apa di hadapan.
Tiada mahu lagi dia menunggu-nunggu akan bau, sudah tiada sabar lagi. Lagi pula
saat itu naib ketua bangsa kera itu menghidap dia akan penyakit resdung, datang
iri bersulam dengki dalam hati, tiada mahu kera yang lain mencicip bau kasturi
terlebih dahulu sebelum dirinya sendiri.
Kelakuan pelik naib ketua bangsa kera itu
tiada apa bena dek sesiapa. Langsung niatnya diperkuat. Dirapatkan kedua belah
tapak tangan kiri dan kanan, dikeluarkan akan hanya kedua-dua jari telunjuk
sahaja seraya laju sekali dia mencucuk punggung ketua bangsa kera dua tiga kali
dalam-dalam. Fikirnya mahu terus bau kasturi itu bocor menyimbah dirinya di
belakang.
Melaung melalaklah akan ketua bangsa kera
itu keras amat. Pecah seluruh belantara. Sedang yang lain pula menghidu bau
busuk teramat keras dari punggung masing-masing tiada tertahan, hingga semuanya
bertebaran lari memanjat pokok sana-sini.”
Tuan Puteri Shahrizad itu bingkas bangun
memasang niat;
“Selepas ini, tiada lagi beta mahu melulut
akan jenama ‘gadis sutera’ lagi. Beta mahu kasturi sahaja.”
Begitulah
tuan-tuan telah kita babadkan sebuah hikayat bukan semata tentang kasturi, ada
diselit ingatan yang lain andai ada yang sedar tiada nyedar. Akan si Aswad itu,
tidaklah tercatit dalam mana-mana buku sejarah, atau buku teks di
sekolah-sekolah, bahawasanya telah dianugerah sebidang tanah, beratus ekor
kambing ternakan, jua yang paling mahal, dikahwinkan dia oleh Tuan Puteri
Shahrizad akan kambing betina istana yang cantik jelita. Itu peri kononnya
kambing kacukan pada zaman tuan-tuan yang diberi nama Dolly itu, keturunan
Aswad entah yang keberapalah.
Wallahu a’lamu bis-sawab, wa ilaihil-marji’u
wal-ma’ab.